06.18.08

Pengumuman

Posted in Makluman at 11:12 pm by bunnybaby

Salam kepada pembaca yang dihormati sekalian.

Laman Bunnybaby ini telah dikemaskini dan dipindahkan ke URL berikut:

http://julianaes.com/bunnybaby-wp

Bermula dari 18 Jun 2008, penulisan kandungan terbaru akan dilakukan di laman berkenaan. Sekian, harap maklum.

06.15.08

Minda ibarat payung terjun

Posted in Lorekan Hati tagged , at 9:31 pm by bunnybaby

Hari ini saya ’setia’ membaca 1 judul buku terus-menerus, tanpa melompat ke buku-buku lain, sepertimana kebiasaannya. Buku yang berjaya melekatkan perhatian 100% itu ialah Edensor, karangan Andrea Hirata. Sebuah karya yang indah, menghiburkan, menginsafkan, mengharukan, dan menggeletek hati. Akan saya tuliskan ulasannya tidak lama lagi, insya Allah.

Malam semalam pula saya berjaya menyudahkan buku nukilan Dan Brown yang pertama saya baca, berjudul Digital Fortress. Satu perubahan selera yang sudah sepatutnya dilakukan lama dahulu. Sebelum ini saya sering memilih fiksyen jenayah (crime fiction) ala CSI, yang mana penulisnya ialah Patricia Cornwell dan James Patterson. Disebabkan sudah terlalu terbiasa dengan gaya penulisan mereka, saya berasa agak ‘muak’ pula dan bertukar angin memilih penulis lain, berdasarkan pilihan kalangan rakan pembaca Shelfari dan Goodreads.

Mengapa boleh timbul rasa muak pula, sedangkan membaca ialah hobi utama saya? Ibarat makanan kegemaran kita, jika dimakan sekali-sekala memang terasa hendak lagi setiap masa. Tetapi jika sudah hampir setiap hari menghadap juadah yang sama, kadangkala kita pasti hendak menukar menu juga.

Seperkara lagi yang memuakkan saya, ialah kecenderungan penulis-penulis Barat menyelitkan adegan-adegan 18SX. Watak utamanya, sama ada lelaki mahupun perempuan, pasti stereotype belaka dari segi fizikalnya. Bagi watak lelaki, pasti digambarkan kesasaan tubuh badannya, ketinggiannya, kekacakan rupanya, adakala anunya pun hendak diceritakan juga. Sementara watak wanita pula, semestinya cantik menggoda, saiz badan yang menggiurkan, dan pelbagai unsur seksualiti lain. Seolah-olah penulisnya memang sengaja hendak menaikkan syahwat pembaca, walhal tema dan persoalan utama cerita bukannya percintaan Uda dan Dara. Alahai, menjengkelkan!

Maka akhir-akhir ini, jika buku dewasa bahasa Inggeris, saya kerap memilih novel-novel klasik, yang mana penulisnya adalah dari era sebelum 1980an. Pilihan yang lebih bijak dan menyenangkan! Bijak kerana dari novel-novel klasik, saya acapkali menemui perkataan-perkataan baru, lalu memperluaskan lagi perbendaharaan kata. Menyenangkan kerana tiada lagi rasa rimas membaca adegan-adegan yang kurang .. menyenangkan. Jika disebabkan pendirian dan pandangan saya ini maka saya dikatakan amat ketinggalan zaman, bercitarasa ‘old-timer’, tidak pandai menilai dan mengasingkan yang mana baik buruk, atau entah apa-apa lagi, biarlah.

Memetik kata Puan Nisah Haron, “You are what you read”. Bahan bacaan boleh saja membentuk peribadi dan pemikiran pembacanya. Oleh itu, eloklah para ibu bapa memberi perhatian kepada selera bahan bacaan anak-anak. Selain dari isi kandungannya, aspek-aspek penyampaian bahasa patut diutamakan juga. Sudah pasti kita tidak mahu generasi akan datang pincang dari segi penguasaan bahasa. Perkara ini sering dipandang remeh, sedangkan bahasa ialah alat komunikasi, saluran penyampaian ilmu. Jika tidak dapat menguasai bahasa dengan baik, bagaimana mahu menguasai ilmu lain? Tidak mungkin kita dapat menyelam ke dasar laut tanpa mempelajari ilmu berenang terlebih dahulu.

Meningkatkan kemahiran dan penguasaan bahasa, sama ada bahasa ibunda, bahasa kedua ataupun bahasa asing, perlu dilakukan secara berterusan. Sehingga kini, saya masih mempraktikkan saranan bekas guru bahasa Inggeris saya di sekolah menengah, iaitu menyimpan buku kecil untuk catatan perkataan-perkataan Inggeris yang saya tidak fahami maksudnya, yang baru saya ketemui. Nasihat saya, seelok-eloknya semasa akal kita masih lagi tertanya-tanya akan makna perkataan tersebut, segerakanlah menyemaknya dari kamus. Memang amalan ini agak menyusahkan, tetapi jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.

Kenapa saya katakan elok disegerakan membuka kamus?

Ini merupakan salah satu petua dalam pembelajaran, tak kiralah apa jua subjek ataupun bidang. Semasa akal kita sedang dipenuhi tanda tanya, ketika itulah ia terbuka luas untuk menerima maklumat dan pengetahuan baru. Bak kata arwah ayah,

“Your mind is like a parachute. It will only function when it is open.”

Oleh itu, maklumat, jawapan dan pengetahuan yang didapati akan segera tersemat di kepala, dan kebarangkalian kita mengingatinya untuk jangka masa panjang lebih tinggi, berbanding apabila kita melengah-lengahkan masa mencarinya.

Dalam pencarian ilmu, daya tumpuan juga perlu senantiasa diasah supaya ia sentiasa tajam. Selain dari membaca, kemahiran mendengar adalah satu kemahiran yang amat berharga, dan manfaatnya tidak terhad kepada pembelajaran semata. Ia juga amat berguna dalam komunikasi dan perhubungan awam, termasuklah perhubungan sesama rakan dan pasangan hidup. Maklumat dan ilmu yang disampaikan oleh ibu bapa, guru, ataupun melalui perbualan sesama rakan, suami dan isteri, adalah ibarat kijang yang diburu di hutan. Bak kata ibu saya, jika kita tidak waspada, kurang siap siaga dan leka, kijang itu akan pantas terlepas dari pandangan, maka termasuklah kita dalam golongan orang-orang yang kerugian. Wallahualam.

06.13.08

Cabaran 50 Buku

Posted in Citra Minda tagged , , at 12:30 pm by bunnybaby

Adakalanya saya berasa amat ketinggalan apabila menyemak buku-buku yang dibaca oleh rakan Shelfari dan Goodreads. Betapa rancaknya aktiviti pembacaan mereka, begitu banyaknya judul buku yang perlu dibaca, sama ada judul-judul baru, mahupun buku-buku lama.

Bagi yang baru pertama kali mendengar tentang Shelfari dan Goodreads, kedua-dua nama ini merupakan portal komuniti pencinta buku. Keahliannya adalah percuma, dengan syarat anda mempunyai akaun emel yang sah. Untuk mengetahui keistimewaan dan perbezaan kedua-duanya dengan lebih lanjut, sila klik di sini, atau kunjungi terus Goodreads.com dan Shelfari.com.

Di Shelfari, saya menyertai kumpulan Cabaran 50 Buku (50 Book Challenge). Kumpulan ini membuka cabarannya kepada mana-mana ahli Shelfari, membaca sekurang-kurangnya 50 naskhah/judul buku dalam tempoh setahun. Lebih daripada 50 pun boleh, amat dialu-alukan. Adakah jumlah ini rasional dan mampu dilakukan?

Sudah tentu. Tahun lalu, saya berjaya membaca 67 judul buku. Walaupun saya menyertai cabaran ini agak lewat, iaitu sekitar penghujung Oktober, saya masih boleh mengejar sasaran, kerana aktiviti pembacaan memang dilakukan sepanjang tahun. Bermula dengan menyemak semula buku-buku yang telah dibaca dari sistem berkomputer perpustakaan, dan sebahagian lagi dari ingatan dan koleksi buku peribadi, senarai berkenaan berjaya saya rekodkan. Bolehkah dipercayai pencapaian ini? Bagaimana jika saya menipu? Dapatkah dikesan dan diketahui?

Cabaran ini tidak menjanjikan sebarang ganjaran hadiah pun, sama ada dalam bentuk wang tunai, trofi, gelaran, kenaikan pangkat, dan sebagainya. Sijil pengesahan pun tidak dikeluarkan. Jadi, apalah manfaatnya saya menipu? Apalah faedahnya mendapatkan ‘kebanggaan sementara dan pura-pura’. Ibarat kita menduduki peperiksaan, jika meniru dan jawapan yang ditiru itu betul, dan anda bernasib baik tidak ditangkap dengan kesalahan ini, maka markah yang didapati pun pastilah ‘berbaloi’ dan ‘membanggakan’. Betulkah berbaloi? Benarkah anda boleh berbangga dengan hasil kerja sedemikian?

Meminjam kata-kata pensyarah saya yang bijaksana; “Anda mungkin berjaya memperolehi markah yang baik (dari usaha meniru tadi), tetapi anda tidak akan mendapat ilmunya. Jika jawapan yang kita berikan (yang benar-benar dari kepala sendiri) semasa ujian tadi salah, kita pasti akan menyemak dan mencarikan jawapan yang betul. Akan datang pasti tidak akan tersilap lagi. Tetapi jika meniru dan betul pula jawapan itu tadi, adakah akan melekat ilmu itu di dalam kepala?

Kembali semula kepada cabaran membaca. Pengetahuan yang dikutip, dikumpul, disematkan di minda, tidak akan dapat dinilaikan dengan harta benda. Saya pernah cuba mencadangkan Cabaran 50 Buku ini dipraktikkan di perpustakaan tempat saya bekerja, sebagai usaha meningkatkan minat dan tabiat membaca, tetapi berbagai reaksi yang saya terima. Di antaranya ialah:

  1. Jika tiada hadiah disediakan, cabaran ini tidak akan menarik perhatian, maka tiada pihak yang berminat.
  2. Buku kanak-kanak yang nipis pun boleh dikira sekalikah? Kalau begitu, banyaklah buku yang saya dapat baca!
  3. Macam mana nak tahu buku-buku yang disenaraikan itu, benar-benar dibaca oleh si peserta? Apakah mekanisme yang diguna pakai untuk menguji kesahihannya?

Bagi para pencinta buku sejati, soalan yang pertama pasti tidak akan terlintas di ruang minda. Untuk soalan-soalan seterusnya, memang tidak dinafikan, tiada kaedah yang “fool proof” untuk memastikan peserta benar-benar jujur dalam cabaran ini. Berbagai cara menipu boleh dilakukan demi memenangi peraduan. Apatah lagi apabila ia melibatkan buku, berapa ramailah penduduk Malaysia yang gemar membaca?

Kesesakan PBAKL\'08Memang benar pesta buku kita meriah, sesak dan dipenuhi pengunjung, sehingga sukar hendak bergerak ke sana ke mari. Gambar di sebelah dirakamkan di telefon bimbit semasa saya terperangkap dalam lautan umat Nabi Muhammad SAW di PBAKL’08. Memang benar jumlah pengunjung melepasi sasaran yang dijangkakan. Memang benar para penerbit dan penjual buku untung besar dari jualan PBAKL 2008. Tetapi adakah kayu pengukur ini benar-benar tepat menggambarkan tabiat membaca di Malaysia?

Ayuh rakan sekalian! Buktikan anda bukan termasuk dalam statistik rakyat Malaysia yang membaca 2 naskhah buku setahun, ataupun graduan yang membaca hanya 4 judul buku setiap tahun, ataupun intelek yang membaca 20 naskhah buku dalam masa 3 tahun! Bacalah, dengan nama Tuhanmu yang menciptakan.

06.10.08

Tidak ada penyakit berjangkit?

Posted in Citra Minda tagged , , at 8:59 pm by bunnybaby

Hadis ini membingungkan saya semasa remaja dulu. Saya pasti ada maksud yang tersirat cuba disampaikan oleh Nabi Muhammad SAW. Jika hadis ini dibandingkan dengan kajian sains semasa, ternyata ia bercanggah sekali. Ah! Tidak mungkin Rasulullah melakukan kesilapan. Pasti ada penjelasannya. Maklumlah, sains tidak semestinya dapat menerangkan segala kebesaran Allah.

20 Hujah Anti-Hadis & JawapanAlhamdulillah, persoalan tersebut terjawab akhirnya, walaupun hanya selepas berbelas-belas tahun kemudian. Saya diketemukan buku berjudul 20 Hujah Golongan Anti-Hadis & Jawapan pada tahun lalu di Pesta Buku Selangor. Mendapat tahu akan buku ini pun secara kebetulan apabila saya melayari blog Ulas Buku (mxypltk). Terima kasih kepada mxypltk atas ulasannya mengenai buku ini, di samping 2 judul buku lain berkaitan hadis. Sesungguhnya itulah manfaat Internet apabila ia diguna pakai sebagai medium perkongsian ilmu dan maklumat.

Menurut penulis buku ini; Hafiz Firdaus Abdullah, sabda Rasulullah SAW yang dimaksudkan adalah seperti berikut:

“Tidak boleh menjangkitkan penyakit, dan tidak boleh mengundi nasib dan tidak boleh mempercayai Hama**, dan tidak boleh mempercayai (kecelakaan) bulan Safar, dan larilah kamu dari penyakit kusta sebagaimana kamu lari dari seekor singa.”

Perkataan Laa ‘Udwa (dalam bahasa Arab) dari hadis tersebut biasanya diterjemahkan sebagai tiada penyakit berjangkit atau tidak ada penyakit berjangkit. Akan tetapi, dalam kaedah bahasa Arab, perkataan Laa tersebut boleh memiliki dua erti; yang pertama sebagai menunjukkan satu “peniadaan” (nafyun), dan yang kedua sebagai menunjukkan satu “larangan” (nahyun).

Penulis menyandarkan hujahnya bagi konteks yang sama pada maksud ayat Al-Baqarah 2:197. Firman Allah dalam ayat tersebut bukanlah bermaksud peniadaan seperti tiada persetubuhan, tidak ada kemaksiatan dan tidak ada pertengkaran kerana tiga perkara ini memang sentiasa wujud dan tidak boleh dihapuskan begitu sahaja. Akan tetapi yang dimaksudkan ialah larangan, iaitu jangan bersetubuh dan jangan bertengkar dalam masa mengerjakan ibadat haji.

Hadis yang disalah ertikan di atas bukan bermaksud penyakit berjangkit tidak wujud. Malahan di penghujung hadis terdapat petunjuk bahawa wujudnya penyakit berjangkit, apabila Rasulullah SAW menyuruh kita menjauhkan diri dari penyakit kusta. Maka sebenarnya yang dimaksudkan oleh Nabi Junjungan Besar SAW ialah jangan membiarkan sesuatu penyakit itu menjangkit, merebak, dan menular.

Nota kaki turut diselitkan di dalam buku ini sebagai rujukan silang. Sebagai contoh, Hama** yang dimaksudkan di dalam petikan hadis tersebut adalah satu adat Jahiliyah yang mempercayai roh seseorang yang mati dibunuh akan keluar dari kuburnya dalam bentuk jelmaan manusia atau burung, dan ia akan mencela tuannya yang mati terbunuh itu.

Penulis membahagikan kandungan buku ini kepada 3 bahagian. Bahagian A melampirkan 20 hujah asas golongan anti-hadis dan jawapannya; bahagian B mengkaji kuasa dan authority Rasulullah SAW di sisi Al-Quran, dan bahagian C mendedahkan 10 ragam dan bentuk kesilapan para sarjana orientalis dalam kajian mereka terhadap hadis-hadis Rasulullah SAW. Di penghujung kandungan buku, penulis menyenaraikan rujukan dan kajian yang berkaitan.

Menyebut tentang hujah anti-hadis mengingatkan saya kepada pengetahuan yang dikongsi oleh suami, yang didengarinya semasa ceramah sebelum khutbah Jumaat. Penyampaian ceramah berkenaan lebih santai, bersahaja, dan lebih mudah diingatinya berbanding khutbah Jumaat selepasnya.

Beginilah lebih kurang isi kandungan ceramah itu (jika ada di kalangan pembaca merupakan hadirin ceramah berkenaan, dan menemui kesilapan di dalam entri ini, mohon maklumkan kesilapan tersebut untuk diperbetulkan):

Golongan anti-hadis mempertikaikan, jika hadis-hadis Rasulullah SAW itu benar-benar sahih dan mesti dijadikan panduan, mengapa orang-orang terapat dan para sahabat Rasulullah SAW tidak banyak meriwayatkan hadis, seperti Saidina Ali r.a. dan Saidina Hamzah r.a., berbanding Abu Hurairah yang tiada kaitan persaudaraan langsung dengan Baginda SAW?

Jawapan penceramah:

Sekali imbas dilihat seperti ada kebenarannya hujah dan persoalan ini. Tetapi saudara-saudara sekalian perlu bijak mengkaji perkara ini dari sudut berbeza. Mari kita lihat dari segi pekerjaan para sahabat yang disebutkan tadi, dan bandingkan dengan Abu Hurairah r.a.

Saidina Ali r.a., ramai yang tidak mengetahui, adalah seorang ahli perniagaan. Businessman, seperti yang kita sedia maklum, ‘kan sibuk jadual hariannya? Kejap-kejap kena pergi meeting, kadangkala outstation, manalah sempat nak mengingati dan menulis hadis?

Sementara Saidina Hamzah r.a. pula, bukankah dia ialah panglima perang? Mana nak kejar latihan taktik peperangan lagi, berkawad lagi, jaga disiplin angkatan tenteralah. Mana cukup masanya!

Abu Hurairah r.a. pula ialah seorang ahli suffah, iaitu orang-orang yang sedang menuntut ilmu dan tinggal di laman masjid. Memang sebahagian kerjanya mengekori Nabi Muhammad SAW ke sana ke mari. Sebab itulah beliau yang lebih banyak dapat mengingati dan mencatatkan hadis-hadis nabi.

Kandungan ceramah ini memang agak kelakar dan menggeletek hati, tetapi jenakanya lebih bersifat mengaitkan keadaan semasa dengan tujuan para jemaah dapat memahami. Sehingga ke hari ini pun, masih terngiang-ngiang lagi ceramah ini, walaupun saya hanya mendengarnya dari suami. Mungkin inilah kaedah penyampaian khutbah yang lebih berkesan, dan benar-benar melekat di minda para jemaah.

Buku “20 Hujah Golongan Anti-Hadis dan Jawapan” diterbitkan oleh Perniagaan Jahabersa, dan boleh didapati dari kedai-kedai buku agama, ataupun melalui www.jahabersa.com.my

Penulis buku ini juga bermurah hati berkongsi ilmu pengetahuannya dalam bentuk e-buku, yang boleh dibaca secara percuma dari laman sesawangnya: www.hafizfirdaus.com

Next page