05.31.08
Majlis Pelancaran DVD Koleksi Animasi PPAS
Alhamdulillah, Majlis Pelancaran & Taklimat Pengenalan Koleksi Animasi Cerita Asal-Usul Daerah Sabak Bernam telahpun selamat dilaksanakan semalam, Jumaat, 30 Mei 2008. Walaupun terdapat beberapa kesukaran dan salah faham, akhirnya program ini berjalan lancar. Sebagai pengurus projek koleksi animasi, saya juga bertindak sebagai pengacara majlis. Hari ini terasa lenguh-lenguh kaki kerana banyak bergerak ke hulu ke hilir; memastikan mana-mana tetamu jemputan khas yang hadir untuk disebutkan dalam skrip pengacaraan majlis, menolong kaunter pendaftaran tetamu untuk edaran DVD dan cenderamata, memastikan komputer riba berfungsi dengan baik, dan pelbagai hal lagi. Mujur dibantu oleh rakan-rakan sekerja yang cekap memainkan peranan masing-masing, maka tidaklah saya sendirian terkapai-kapai menguruskannya.
Majlis ini dijalankan dengan amat sederhana sekali, perbelanjaan yang kecil, tetapi objektifnya tercapai, iaitu untuk mempromosi dan memberi ruang publisiti DVD koleksi animasi ini kepada masyarakat setempat.
Oleh kerana kampung saya di Sungai Besar, saya bermalam di rumah ibu. Manakala ketua seksyen dan rakan sekerja, mereka menginap di D’Muara Marine Park, Sungai Haji Dorani.
Menurut adik saya yang pernah bekerja di syarikat yang menguruskan resort ini, walaupun keadaan sekeliling resort berkenaan cantik dan bersih, sayangnya aliran airnya (untuk mandian di bilik air) kecil. Maka saya tidaklah terkilan tidak menginap di situ. Sebelum ini sudah beberapa kali saya dan suami menempah chalet di resort berkenaan, tetapi setiap kali terpaksa dibatalkan kerana tuntutan kerja dan urusan lain.
Berbalik kepada majlis pelancaran tadi, kami memang memilih format dan skala majlis yang amat sederhana, kerana pertama; perbelanjaan berhemah. Apalah gunanya majlis pelancaran yang “grand” dan gilang-gemilang jika ia hanya bertujuan bermegah-megah, tetapi matlamat sebenar terabai. Kedua; perkara yang penting ialah, penduduk setempat yakni masyarakat di Sabak Bernam mengetahui akan kewujudan DVD koleksi animasi ini. Tidaklah kami di perpustakaan ibarat ’syok’ sendiri. Bahagian kami berperanan menjalankan roadshow mempromosikan produk dan perkhidmatan perpustakaan ke semua daerah di seluruh negeri. Inilah kerja hakiki yang amat saya gemari; berinteraksi dengan orang awam.
DVD koleksi animasi ini dibangunkan pada tahun 2006-2007. Ia adalah usahasama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor dengan Universiti Multimedia, dengan kebenaran Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor. UPEN adalah satu unit di SUK Selangor yang menerbitkan buku Koleksi Cerita Rakyat Daerah Sabak Bernam, dan juga daerah-daerah lain. Buku ini memuatkan catatan sejarah dan kisah asal-usul kampung-kampung di dalam daerah tersebut. Di samping catatan sejarah, terdapat juga beberapa kisah lagenda dan misteri, yang menjadi warisan masyarakat tempatan turun-temurun. Buku ini diterbitkan bukan untuk tujuan komersil, sebaliknya sebagai satu usaha memelihara tradisi lisan agar tidak lapuk ditelan zaman. Itu adalah salah satu sebab utama PPAS mengambil inisiatif mengadaptasi cerita-cerita tersebut ke dalam bentuk animasi.
Saya akan menulis entri khas tentang buku dan koleksi animasi cerita asal-usul Sabak Bernam ini sedikit masa lagi.
05.28.08
Bibliotherapy
Sukarnya menguruskan kehidupan seorang wanita, dikatakan kerana 9 nafsunya. Masih tertancap dalam ingatan saya, yang disampaikan oleh Ustaz Badri semasa sekolah menengah dahulu, bahawa 9 nafsu wanita itu juga berkait rapat dengan perasaan dan emosinya.
Golongan hawa memang mempunyai spektrum emosi yang luas, berbanding kaum adam. Sebab itu jugalah wanita mempunyai kelebihan dari segi kemampuannya mengandung dan melahirkan anak.
Saya belum berpengalaman menjadi seorang ibu. Mendukung peranan ibu saudara menjaga bayi memang pernah, tetapi manakan sama dengan peranan sebenar ibu kandung. Tetapi itu bukanlah topik yang ingin saya kemukakan di sini, sebaliknya kaitan mengurus emosi melalui bibliotherapy.
Berdasarkan pengajian saya yang baru se-semester jagung ini, bibliotherapy merupakan perkhidmatan rujukan yang dikategorikan sebagai perkhidmatan berbentuk “Guidance”. Pada pemahaman saya, bibliotherapy adalah satu bentuk perkhidmatan yang memberi tunjuk ajar kepada penggunanya dari segi pemilihan bahan bacaan yang sesuai untuk tujuan terapi.
Sebelum mempelajari asas-asas bidang perpustakaan ini, saya memang secara tidak sengaja telah mengamalkan bibliotherapy sebagai kaedah berkesan menguruskan emosi saya yang sering pasang surut. Berbintang Cancer, yang terkenal dengan sifatnya yang sensitif dan kadangkala emosional, saya sedaya upaya cuba melarikan diri dari sifat sedemikian. Sensitif dapat jugalah saya kurangkan, Alhamdulillah. Tetapi sifat cepat marah dan kurang sabar memang masih jauh dari tahap terkawal. Hei, nanti dulu! Jangan pula ingat saya ini psikotik, ya!
Saya memiliki sifat kurang sabar menunggu. Apabila mendirikan rumahtangga, saya perlu mengubahsuai sifat ini demi keserasian yang harmoni dengan pasangan. Bagaimana mengatasinya? Saya gunakan BUKU! Baca buku yang menghiburkan di dalam kereta sementara menunggu suami, semasa menunggu makanan yang dipesan jika kami makan bersama di restoran, semasa beratur di barisan yang panjang untuk membayar di kaunter Giant ataupun Tesco, semasa menunggu komuter (sebelum memiliki kereta), menunggu bas, menunggu giliran tempat duduk di dalam bas (jika terpaksa berdiri), dan bila-bila masa yang saya terpaksa nak tak nak – menunggu.
Pada mulanya saya kurang setuju dengan idea membaca buku dalam kenderaan yang bergerak, kerana sejarah saya sejak kecil yang sering mabuk dalam kereta. Muntah dan pening dan entah apa-apa lagi. Tetapi saya cuba juga saranan bos saya – wanita Australia bernama Sue Devlin. Saya dapati terapi ini memang berkesan – tanpa kesan mabuk kenderaan!
Apabila saya mula membaca novel sebelum bas yang ditunggu tiba, fikiran dan daya tumpuan saya akan menjurus kepada jalan cerita novel berkenaan. Keasyikan ini akan bersambung setelah menaiki bas, dan daya tumpuan saya tidak terputus dari buku di tangan. Oleh itu, agaknya bahagian otak yang sebelum ini menghantar/memproses isyarat ‘mabuk kenderaan’ pun terleka dek tumpuan kepada isi kandungan buku. Maka tidaklah saya kemabukan dalam bas lagi!
Begitu juga semasa situasi menunggu yang lain. Saya akan berkira-kira dahulu jika katakan, waktu saya hendak keluar membeli belah merupakan waktu yang sibuk (peak hours), saya pastikan bawa tas tangan yang boleh memuatkan buku. Kalau terlupa, saya akan segera membeli majalah pula. Apa yang penting, ada bahan bacaan tersedia di tangan sebelum suhu kemarahan saya meningkat secara tiba-tiba.
Anda pasti sekali kurang bersetuju dengan kaedah saya ini. Ah! Kan lebih baik membaca Al-Quran!! Kalaupun tidak dapat mengendongnya sentiasa, berzikirlah di dalam hati!
Sesungguhnya sebagai seorang muslim, insya Allah saya tidak akan melupakan mukjizat tersebut yang jauh lebih mujarab jika dibandingkan dengan sekeping fiksyen. Tetapi salahkah jika saya hendak mempelbagaikan kaedah mengurus emosi diri? Selagi buku yang dibaca tidak mengandungi unsur yang memesongkan iman, kalaupun ada tetapi tidak sampai ke peringkat melunturkan (keimanan), apa salahnya, kan?
Wallahualam.
05.27.08
Cinta beralih arah
Sejak memesrai karya-karya Faisal Tehrani lebih kurang 3 tahun lalu, saya merasai semula betapa nikmatnya membaca sastera Melayu. Perasaan itu sudah lama tidak dirasakan sejak saya meninggalkan bangku sekolah menengah, walhal saya adalah pelajar aliran sastera tulen.

Selepas SPM, saya lebih banyak mendekati novel-novel Inggeris kerana ingin memantapkan penguasaan bahasa tersebut. Bertitik tolak dari novel Sidney Sheldon berjudul Master of the Game, saya seperti sudah hilang minat untuk membaca buku fiksyen bahasa Melayu.
Jangan salah anggap. Saya bukan kacang lupakan kulit, yang melupakan jati diri bangsanya sendiri. Cuma cinta saya telah beralih arah kepada novel-novel Inggeris. Kesemua buku Sidney Sheldon, Jeffrey Archer, L.M. Montgomery dan Patricia Cornwell yang dapat saya temui akan saya pinjam ataupun beli. Sejak menemui keserasian dengan karya-karya penulis tersebut, pilihan bahan bacaan saya menjadi terhad kepada lingkungan penulis yang sama. Saya tidak kisahpun membaca karya mereka berulang kali.
Dipendekkan cerita, semasa Pesta Buku Selangor 2006, saya berpeluang mengajukan soalan kepada Puan Nisah Haron, yang ketika itu merupakan panelis jemputan untuk forum bertajuk “Menulis: Hobi atau Ganjaran?” Soalan saya itu bukanlah sangat hendakkan jawapannya, tetapi lebih kepada sindiran kepada penulis-penulis fiksyen Melayu yang saya perhatikan cenderung mencampur-adukkan perkataan bahasa Inggeris dalam karya mereka. Saya berpegang kepada pendirian “jika mahu berbahasa Melayu, biarlah 100% Melayu. Jika berbahasa Inggeris, 100% Inggeris.”
Puan Nisah telah menjawab persoalan saya itu dengan menyatakan bahawa adakalanya sesuatu istilah terpaksa dipinjam dari bahasa lain kerana ia tidak terdapat dalam bahasa ibunda. Beliau mengambil contoh karyanya sendiri berjudul Locus Standi. Kemudian seolah-olah dapat membaca fikiran saya, beliau bertanya adakah saya maksudkan karya Faisal Tehrani yang berjudul Advencer Si Peniup Ney? Pada mulanya saya agak terkedu kerana beliau dapat meneka dengan begitu tepat sekali pemikiran saya. Maklumlah, bukan satu dua saja novel Melayu yang saya ketemui kecenderungan mencampur-adukkan bahasa. Apabila saya mengangguk mengiakan pertanyaan beliau, Puan Nisah menjelaskan, ada sebab musababnya FT memilih perkataaan itu sebagai judulnya.
Sejak peristiwa itu, langsung saya terdetik untuk membacanya, dan terus mengorak langkah menerokai kembali dunia sastera Melayu. Kalau tidak kerana kepetahan dan kecekapan Puan Nisah mentafsir pemikiran saya, pasti hingga kini saya masih ketinggalan dan kerugian dalam menikmati karya tempatan yang berkualiti! Terima kasih Puan Nisah!
Perjalanan seribu batu bermula dengan langkah pertama…
Keseronokan membina laman web memang tidak dapat digambarkan. Apatah lagi jika ia adalah 100% hasil usaha sendiri, tanpa mencedok mana-mana kod XHTML laman web lain.
Bertitik tolak dari pengalaman menyudahkan laman web peribadi untuk projek individu, saya berazam untuk menerbitkannya secara live di Internet. Tambahan pula dengan sokongan dan surprise dari suami tercinta yang mendaftarkan domain name dan web hosting atas nama saya, semakin berkobar-kobar semangat diri ini.
Sementara itu, sebelum saya menyimpan ura-ura menerbitkan laman web peribadi ini, saudara Jiwa Rasa memang beberapa kali telah mencuit saya (figurative speaking ) agar mempunyai blog sendiri. Saya memang antara pengunjung setia blog beliau, di samping blog Nisah Haron, Faisal Tehrani, Ulas Buku (mxpltk), Unika PTS, dan yang terbaru ialah BeckyilHam dan Bukuria-Malaysia. Saya berazam untuk menerbitkan laman web peribadi melalui pengaturcaraan yang baru saya pelajari.
Tetapi sebagaimana manusia biasa yang punyai banyak kelemahan, diri ini tidak terkecuali. Setelah laman web peribadi ini diterbitkan secara live di Internet, saya dapat melihat betapa banyaknya kelemahan dan kekurangan. Walaupun ia kelihatan OK pada Internet Explorer, pada Firefox ia tampak bercelaru sekali. Kemudian saya terbitkan pula projek laman web berkumpulan, mengenai perkhidmatan perpustakaan – menjurus kepada bahagian di mana saya ditugaskan. Kali ini lebih baik daripada pengalaman pertama, itupun ‘terpaksa’ mencedok sedikit sebanyak idea rekabentuk dan kod XHTML laman lain. Tetapi itu pun masih banyak yang perlu diperbaiki.
Memang memulakan sesuatu pekerjaan itu amat berat, tetapi lebih berat lagi usaha mengekalkan pekerjaan yang telah dimulakan tadi. Maka anda pasti berkata dalam hati; “inilah orang Melayu. Memang selalu hangat-hangat tahi ayam saja!”
Adakah saya ingin membiarkan usaha membina laman web sendiri itu terkubur sahaja? Sudah tentu tidak! Cuma saya perlu ketepikan sementara usaha itu, memandangkan ada beberapa pekerjaan lain yang lebih penting perlu diselesaikan dalam masa terdekat ini. Tidak mampu rasanya hendak menggalas begitu banyak tanggungjawab dan pekerjaan dalam masa yang sama.
Oleh itu, setelah ditimbang tara semasak-masaknya, maka saya memilih WordPress untuk menghamparkan lukisan hati dan citra minda saya. Berkenaan laman web tersebut, kalau saya berkeras ingin membinanya semula, ia akan mengambil masa yang lebih lama, kerana saya ini memang cerewet orangnya. Membina laman web akan membuatkan saya merasa lebih puas – dari segi rekabentuknya, tetapi kurang pula dari segi kandungan, dan kurang ciri-ciri interaktif. Kalau memilih blog dari rekabentuk dan tema sedia ada, saya dapat menumpukan perhatian yang lebih kepada isi kandungan. Akhirnya saya memilih blog, walaupun agak kecewa kerana tidak dapat meneruskan cita-cita saya.
Berbalik kepada cerita web hosting tadi, saya sedang dalam proses memindahkannya ke server lain yang sesuai untuk memuatkan template WordPress. Sekurang-kurangnya, walaupun belum berjaya menerbitkan laman web hasil tangan sendiri, tidaklah rugi yuran web hosting dan domain name yang telah dibayar untuk setahun oleh suami yang dikasihi!



