05.27.08
Perjalanan seribu batu bermula dengan langkah pertama…
Keseronokan membina laman web memang tidak dapat digambarkan. Apatah lagi jika ia adalah 100% hasil usaha sendiri, tanpa mencedok mana-mana kod XHTML laman web lain.
Bertitik tolak dari pengalaman menyudahkan laman web peribadi untuk projek individu, saya berazam untuk menerbitkannya secara live di Internet. Tambahan pula dengan sokongan dan surprise dari suami tercinta yang mendaftarkan domain name dan web hosting atas nama saya, semakin berkobar-kobar semangat diri ini.
Sementara itu, sebelum saya menyimpan ura-ura menerbitkan laman web peribadi ini, saudara Jiwa Rasa memang beberapa kali telah mencuit saya (figurative speaking ) agar mempunyai blog sendiri. Saya memang antara pengunjung setia blog beliau, di samping blog Nisah Haron, Faisal Tehrani, Ulas Buku (mxpltk), Unika PTS, dan yang terbaru ialah BeckyilHam dan Bukuria-Malaysia. Saya berazam untuk menerbitkan laman web peribadi melalui pengaturcaraan yang baru saya pelajari.
Tetapi sebagaimana manusia biasa yang punyai banyak kelemahan, diri ini tidak terkecuali. Setelah laman web peribadi ini diterbitkan secara live di Internet, saya dapat melihat betapa banyaknya kelemahan dan kekurangan. Walaupun ia kelihatan OK pada Internet Explorer, pada Firefox ia tampak bercelaru sekali. Kemudian saya terbitkan pula projek laman web berkumpulan, mengenai perkhidmatan perpustakaan – menjurus kepada bahagian di mana saya ditugaskan. Kali ini lebih baik daripada pengalaman pertama, itupun ‘terpaksa’ mencedok sedikit sebanyak idea rekabentuk dan kod XHTML laman lain. Tetapi itu pun masih banyak yang perlu diperbaiki.
Memang memulakan sesuatu pekerjaan itu amat berat, tetapi lebih berat lagi usaha mengekalkan pekerjaan yang telah dimulakan tadi. Maka anda pasti berkata dalam hati; “inilah orang Melayu. Memang selalu hangat-hangat tahi ayam saja!”
Adakah saya ingin membiarkan usaha membina laman web sendiri itu terkubur sahaja? Sudah tentu tidak! Cuma saya perlu ketepikan sementara usaha itu, memandangkan ada beberapa pekerjaan lain yang lebih penting perlu diselesaikan dalam masa terdekat ini. Tidak mampu rasanya hendak menggalas begitu banyak tanggungjawab dan pekerjaan dalam masa yang sama.
Oleh itu, setelah ditimbang tara semasak-masaknya, maka saya memilih WordPress untuk menghamparkan lukisan hati dan citra minda saya. Berkenaan laman web tersebut, kalau saya berkeras ingin membinanya semula, ia akan mengambil masa yang lebih lama, kerana saya ini memang cerewet orangnya. Membina laman web akan membuatkan saya merasa lebih puas – dari segi rekabentuknya, tetapi kurang pula dari segi kandungan, dan kurang ciri-ciri interaktif. Kalau memilih blog dari rekabentuk dan tema sedia ada, saya dapat menumpukan perhatian yang lebih kepada isi kandungan. Akhirnya saya memilih blog, walaupun agak kecewa kerana tidak dapat meneruskan cita-cita saya.
Berbalik kepada cerita web hosting tadi, saya sedang dalam proses memindahkannya ke server lain yang sesuai untuk memuatkan template WordPress. Sekurang-kurangnya, walaupun belum berjaya menerbitkan laman web hasil tangan sendiri, tidaklah rugi yuran web hosting dan domain name yang telah dibayar untuk setahun oleh suami yang dikasihi!

Jiwarasa said,
30 May 2008 at 12:34 am
Tahniah atas kemunculan blog ini. Saya akan sentiasa mengikuti perkembangan blog ini. Moga tambah meriah dunia peminat buku!
Nisah Haron said,
1 June 2008 at 1:56 am
Tahniah juga daripada saya. Teruskan. Kita memang perlukan ramai insan yang bergelumang dengan buku (seperti Puan di PPAS) untuk menulis tentang buku. Tidak ramai pencinta buku sebenar bertugas di perpustakaan.
Rebecca Ilham said,
3 August 2008 at 10:40 am
Salam kak,
maaf terlambat melawat laman ini. Tahniah!