05.28.08

Bibliotherapy

Posted in Citra Minda tagged at 10:03 pm by bunnybaby

Sukarnya menguruskan kehidupan seorang wanita, dikatakan kerana 9 nafsunya. Masih tertancap dalam ingatan saya, yang disampaikan oleh Ustaz Badri semasa sekolah menengah dahulu, bahawa 9 nafsu wanita itu juga berkait rapat dengan perasaan dan emosinya.

Golongan hawa memang mempunyai spektrum emosi yang luas, berbanding kaum adam. Sebab itu jugalah wanita mempunyai kelebihan dari segi kemampuannya mengandung dan melahirkan anak.

Saya belum berpengalaman menjadi seorang ibu. Mendukung peranan ibu saudara menjaga bayi memang pernah, tetapi manakan sama dengan peranan sebenar ibu kandung. Tetapi itu bukanlah topik yang ingin saya kemukakan di sini, sebaliknya kaitan mengurus emosi melalui bibliotherapy.

Berdasarkan pengajian saya yang baru se-semester jagung ini, bibliotherapy merupakan perkhidmatan rujukan yang dikategorikan sebagai perkhidmatan berbentuk “Guidance”. Pada pemahaman saya, bibliotherapy adalah satu bentuk perkhidmatan yang memberi tunjuk ajar kepada penggunanya dari segi pemilihan bahan bacaan yang sesuai untuk tujuan terapi.

Sebelum mempelajari asas-asas bidang perpustakaan ini, saya memang secara tidak sengaja telah mengamalkan bibliotherapy sebagai kaedah berkesan menguruskan emosi saya yang sering pasang surut. Berbintang Cancer, yang terkenal dengan sifatnya yang sensitif dan kadangkala emosional, saya sedaya upaya cuba melarikan diri dari sifat sedemikian. Sensitif dapat jugalah saya kurangkan, Alhamdulillah. Tetapi sifat cepat marah dan kurang sabar memang masih jauh dari tahap terkawal. Hei, nanti dulu! Jangan pula ingat saya ini psikotik, ya!

Saya memiliki sifat kurang sabar menunggu. Apabila mendirikan rumahtangga, saya perlu mengubahsuai sifat ini demi keserasian yang harmoni dengan pasangan. Bagaimana mengatasinya? Saya gunakan BUKU! Baca buku yang menghiburkan di dalam kereta sementara menunggu suami, semasa menunggu makanan yang dipesan jika kami makan bersama di restoran, semasa beratur di barisan yang panjang untuk membayar di kaunter Giant ataupun Tesco, semasa menunggu komuter (sebelum memiliki kereta), menunggu bas, menunggu giliran tempat duduk di dalam bas (jika terpaksa berdiri), dan bila-bila masa yang saya terpaksa nak tak nak – menunggu.

Nasi Goreng Nenas dan \"The Reptile Room\"

Pada mulanya saya kurang setuju dengan idea membaca buku dalam kenderaan yang bergerak, kerana sejarah saya sejak kecil yang sering mabuk dalam kereta. Muntah dan pening dan entah apa-apa lagi. Tetapi saya cuba juga saranan bos saya – wanita Australia bernama Sue Devlin. Saya dapati terapi ini memang berkesan – tanpa kesan mabuk kenderaan!

Apabila saya mula membaca novel sebelum bas yang ditunggu tiba, fikiran dan daya tumpuan saya akan menjurus kepada jalan cerita novel berkenaan. Keasyikan ini akan bersambung setelah menaiki bas, dan daya tumpuan saya tidak terputus dari buku di tangan. Oleh itu, agaknya bahagian otak yang sebelum ini menghantar/memproses isyarat ‘mabuk kenderaan’ pun terleka dek tumpuan kepada isi kandungan buku. Maka tidaklah saya kemabukan dalam bas lagi!

Begitu juga semasa situasi menunggu yang lain. Saya akan berkira-kira dahulu jika katakan, waktu saya hendak keluar membeli belah merupakan waktu yang sibuk (peak hours), saya pastikan bawa tas tangan yang boleh memuatkan buku. Kalau terlupa, saya akan segera membeli majalah pula. Apa yang penting, ada bahan bacaan tersedia di tangan sebelum suhu kemarahan saya meningkat secara tiba-tiba.

Anda pasti sekali kurang bersetuju dengan kaedah saya ini. Ah! Kan lebih baik membaca Al-Quran!! Kalaupun tidak dapat mengendongnya sentiasa, berzikirlah di dalam hati!

Sesungguhnya sebagai seorang muslim, insya Allah saya tidak akan melupakan mukjizat tersebut yang jauh lebih mujarab jika dibandingkan dengan sekeping fiksyen. Tetapi salahkah jika saya hendak mempelbagaikan kaedah mengurus emosi diri? Selagi buku yang dibaca tidak mengandungi unsur yang memesongkan iman, kalaupun ada tetapi tidak sampai ke peringkat melunturkan (keimanan), apa salahnya, kan?

Wallahualam.

4 Comments »

  1. Nisah Haron said,

    Salam,
    Memang benar. Menunggu sesuatu/seseorang tanpa melakukan aktiviti yang boleh menjana minda boleh jadi gila. Seperti Ju, saya juga tak betah menunggu tanpa ada buku/majalah/akhbar di tangan. Suami juga begitu. Kalau sudah ada bahan bacaan ataupun buku catatan untuk ditulis sesuatu, boleh saja biarkan saya menunggu berjam-jam. Memang tak sedar masa berlalu.

    Baru-baru ini ada urusan di JPJ. Tak sangka pula urusan itu tersangkak dek waktu menunggu. Mulalah menyesal tak bawa langsung bahan bacaan. Akhirnya menulis puisi dalam buku catatan. Apabila suami telefon, saya mengadu akan hal ini. Sedangkan masa menunggu masih panjang. Katanya, sambil ketawa, tulislah sebuah puisi panjang macam Al-Amin (SN A. Samad Said)!

  2. diksu said,

    Salam,
    Setuju! Saya mungkin termasuk kategori kurang baran jika terpaksa menunggu, tapi kerugian masa tu memang terasa. Jadi, saya juga praktikkan bibiliotherapy (baru tahu namanya bibliotherapy – thanks). Bukan sahaja dalam bas atau komuter, malahan kerap kali juga saya membaca buku diatas motorsikal suami yang saya bonceng waktu pergi dan balik dari kerja. Jarak rumah dan tempat kerja saya mengambil masa kira-kira 45 minit…Suami saya pun dah faham tabiat saya membaca buku atas motorsikal.

    Nisah Haron,
    Jika tak keberatan, kongsikanlah puisi yang ditulis itu.

  3. bunnybaby said,

    Puan Nisah,
    Saya bersetuju dengan Diksu. Marilah kongsikan puisi tersebut.

    Diksu,
    Rupanya saudari lagi ‘terer’! Boleh membaca sambil membonceng pula. Bolehlah jadi pelakon lagak ngeri ;-)

  4. Smila said,

    saya setuju dengan anda mengenai membaca di dalam kenderaan, semasa di sek.men. saya tidak mengalami masalah utk membaca di dalam kenderaan, namun selepas tamat, saya juga m’alami masalah utk membaca di dlm kenderaan yg bergerak spt mabuk, muntah dll. namun sejak saya m’lanjutkan pelajaran baru2 ini. saya melawan juga keadaan itu…kerana masa yg perlu utk dibahagi2kan utk keluarga, kerjaya dan juga pelajaran. Alhamdulillah saya berjaya semula m’dapatkan kawalan utk membaca di dlm kenderaan yg bergerak. Ini semua memerlukan pengorbanan yg cekal dan berusaha utk mencapainya.


Leave a Comment