06.01.08
book-A-licious di Seksyen 7, Shah Alam
Sudah beberapa kali saya memandu lalu di hadapan kedai sewa buku ini. Setiap kali itu jugalah saya berjanji pada diri sendiri agar singgah ke kedai tersebut pada suatu hari nanti. Suatu hari itu akhirnya sampai juga semalam, 31 Mei 2008.
Sungguhpun saya bekerja di perpustakaan – sebuah gedung buku yang mana pada bila-bila masa dan seberapa banyak buku boleh saya pinjam, mata saya tetap liar menjeling kedai buku lain. Apabila mengunjungi kompleks membeli-belah, di mana ada kedai buku, di situlah saya akan singgahi.
Kebetulan ketika ini saya memang sedang mencari beberapa judul buku yang tidak terdapat di tempat kerja, mahupun di perpustakaan UiTM. Maka saya melangkah ke kedai sewa buku ini dengan harapan ketemu buku yang diimpikan. Ia terletak di deretan kedai barisan hadapan di Seksyen 7 baru Shah Alam.
Untuk masuk ke kedai ini, pengunjung perlu membuka kasut terlebih dahulu. Nasib baik saya hanya memakai sandal. Kalau berkasut but, alamat terbatallah niat saya menyinggahinya. Bukannya apa, pengalaman kehilangan kasut membuatkan saya sangat berhati-hati.
Kedai ini amat santai dekorasi dalamannya. Tenang mata memandang. Berkonsepkan “book cafe”, beberapa set sofa, kerusi sederhana panjang dan meja disediakan untuk pengguna melabuhkan punggung, membelek buku pilhan masing-masing.
Meskipun kecewa buku yang dicari tiada, saya terjumpa pula buku-buku Agatha Christie yang memang sudah lama diburu. Rambang mata juga dibuatnya.
Mengenangkan banyak buku lain yang menunggu giliran untuk dibaca, saya sewa satu sahaja dahulu, berjudul “Partners in Crime”.
Saranan saya, jika anda singgah di Shah Alam, jangan lupa singgah di Book-A-licious. Manalah tahu, mungkin ada buku menarik yang menanti anda di sana!
Alamat: Jalan Kristal J7/J, Shah Alam.
Koleksi/Kemudahan: Buku-buku fiksyen (bahasa Inggeris dan Melayu), non-fiksyen, komik, Wifi, ruang bacaan.



najibah said,
4 June 2008 at 10:05 pm
Rasanya kedai sewa buku akan jadi salah satu kunjungan utama saya sebagai ganti kedai buku tak lama lagi. Maklumlah inflasi dijangka meningkat hingga 5%. Duh!
bunnybaby said,
5 June 2008 at 5:51 pm
Najibah,
Tanpa pengumuman inflasi pun, memang sudah dirasakan suasananya. Harapan saya, walaupun buku mungkin menduduki tempat terakhir dalam senarai keutamaan harian, sebaliknya perpustakaan awam akan dikunjungi lebih ramai pula oleh pencinta buku.