06.04.08
Pengalaman berpesta buku
Tahun ini, akan genaplah tiga tahun PPAS menganjurkan Pesta Buku Selangor. Dua tahun pertama saya terlibat secara langsung. Tahun ini saya menyerahkan tugas tersebut kepada rakan sekerja, manakala saya membantu dari belakang. Tujuannya ialah supaya kami sama-sama dapat menimba pengalaman dalam pengurusan pesta buku.
Bercakap tentang pesta buku, seperkara yang saya asyik fikirkan ialah; pesta buku bagaimanakah yang kita mahukan? Yang banyak penerbit dan penjual buku – memberi banyak pilihan kepada pengguna; ataupun keselesaan menjadi perkara utama – supaya pengunjung merasa seronok dan nyaman bergerak dari satu gerai buku ke gerai buku yang lain, tanpa ’sapaan’ penjual buku yang agresif.
Pengalaman berkunjung ke Pesta Buku Manila pada tahun lalu telah membuka mata saya terhadap pesta buku. Selama ini, saya sudah terbiasa dengan kesibukan pesta buku di Malaysia, lalu menganggap itulah suasana pesta buku yang normal. Betapa berbezanya suasana pesta buku di Manila dari PBAKL!
Saya kurang pasti adakah kerana kebetulan saya ke pesta buku tersebut pada hari bekerja, maka ia kurang sesak berbanding PBAKL. Tetapi satu perkara yang saya sedari, ialah tiada terpaan dan sapaan mana-mana penjual buku pun sepanjang saya di sana. Sudah beberapa kali saya berpusing-pusing, ke hulu dan ke hilir di dalam dewan tersebut, pun tidak ada langsung penjual buku yang menghadang.
Majoriti penduduk Manila beragama Kristian. Oleh itu, memang tiada surau disediakan di mana-mana bahagian di dalam bangunan di mana pesta buku berlangsung. Masjid terdekat pun langsung tidak kelihatan. Inilah yang dikatakan orang, hujan emas di negara orang, hujan batu di negeri sendiri. Sungguhpun demikian, apabila saya bertanyakan kepada pihak urus setia, ruang yang sesuai untuk melaksanakan solat, mereka membenarkan saya menggunakan satu sudut yang kosong di dalam kawasan urus setia tersebut.
Beberapa pempamer di sini telah mengubahsuai kawasan gerai mereka merupai sebuah kedai buku. Di samping itu, mereka turut menyediakan ruang simpanan beg, dan bakul untuk mengisi buku-buku yang dipilih.

Setiap pembelian berjumlah XX Peso ke atas akan mendapat satu beg “tote” percuma. Ini sungguh praktikal bagi saya sebagai seorang pelancong. Beg tersebut penuh diisi dengan buku-buku yang dibeli di sana. Agaknya peminjaman bakul dan pemberian beg ini merupakan satu kaedah psikologi yang merangsang pengunjung pesta buku membeli lebih banyak buku! Memang itu pun yang terjadi pada saya. Buku-buku di sini pun memang lebih murah setelah ditukarkan nilainya ke matawang Malaysia. Manalah tak geram. Selain buku-buku untuk koleksi peribadi, saya juga membeli buku kanak-kanak untuk anak-anak saudara. Alangkah seronoknya dapat membelikan ole-ole yang mana saya sendiri girang memilihnya. Saya harapkan, dengan pemberian buku sebagai ole-ole, anak-anak saudara saya akan terangsang ke arah meminati dan mencintai buku seperti saya. Kan melentur buluh itu biar dari rebungnya?
Itulah sedikit sebanyak pengalaman berpesta buku di negara asing. Aktiviti mengunjungi pesta buku adalah satu kemestian kepada pencinta buku, selain melawat perpustakaan dan kedai buku. Apabila melancong ke negara-negara luar, jadikan ini sebagai salah satu agenda utama dalam pakej pelancongan kita. Barulah pelancongan itu lebih bermakna.



najibah said,
4 June 2008 at 10:08 pm
Bunnybaby, kalau nanti Bukuria survive sepanjang kejatuhan ekonomi dan berkembang baik, kemudian satu masa nanti nak anjurkan pesta buku, bolehlah kongsi idea dengan Bukuria
.
bunnybaby said,
4 June 2008 at 10:19 pm
Najibah, kecil tapak tangan, nyiru hamba tadahkan. Semoga tercapai cita-cita yang murni itu, insya Allah.