06.07.08
Tak hendak seribu dalih (Bhg. 1)
Beberapa petikan dialog:
A: Saya bukan orang Matematik.
B: Saya bukan orang sastera.
C: Saya bukan orang teknikal.
D: Bahasa ni, asalkan orang faham sudah le. Tak kisahlah, salah sikit-sikit tu biasalah. Aku bukan pakar bahasa.
Mungkin anda sendiri pernah mendengar dialog di atas dalam pergaulan seharian. Kata-kata berkenaan, bunyinya seperti merendah diri. Maklumlah, memang adat orang Melayu yang penuh budi bahasa, tidak suka berbangga-bangga, walaupun dia sebaliknya memang berkebolehan dalam bidang tersebut.
Benarkah begitu?
Dalam dialog A, situasinya begini; semasa sedang membeli-belah, pekedai menawarkan potongan harga ke atas barangannya sebanyak RM5. Maka barang tersebut yang asalnya berharga RM21 setiap satu, kini berharga RM16. Si ibu mahu membelinya sebanyak 50 unit. Maka dia pun bertanya kepada anaknya, berapa ya, RM16 kali 50?
Anaknya segera pula menjawab; “saya bukan orang Matematik”.
Berdasarkan senario ini, pada pendapat anda, benarkah anaknya benar-benar mahu merendah diri, ataupun sebenarnya malas nak mencongak?
Sementara dialog B dan D pula, pada pandangan saya, mencerminkan penuturnya kurang ambil peduli hal-hal berkaitan bahasa.
Hal ini, yakni senario A, B, C, dan D, menggambarkan ketidakpedulian segolongan insan dalam hal-hal tertentu, dan sifat mereka yang kurang inisiatif. Contohnya, untuk situasi A. Takkanlah sekadar hendak mencongak nilai sekecil itupun, anda terus mengalah dan menyekat diri dari memikirkan penyelesaian yang bersifat matematik? Hah, darabkan saja RM10 dengan 50, dapat RM500. Ketepikan sebentar, kemudian darabkan RM6 dengan 50, dapat RM300. Sekarang, tambahkan kedua-dua jawapan itu tadi, ‘kan senang?
Kalaulah semua orang mengambil sikap seperti orang-orang dalam dialog A, B, C, dan D, nampaknya senario semasa akan menjadi seperti ini:
- Ahli jurusan kejuruteraan, matematik, sains, teknologi dan pelbagai bidang teknikal lain memberi alasan, mereka bukan pakar bahasa. Tidak pernah mendapat pendidikan formal dalam bidang bahasa. Tiada masa pun hendak mempelajarinya. Cukuplah sekadar menyampaikan ilmu di dalam kelas, asalkan anak didik boleh faham dengan bahasanya. Tidak perlu susah-susah dengan nahu dan gaya bahasa. Bukan bidang mereka.
- Ahli-ahli bahasa pula berpendirian, mereka bukan orang teknikal. Biarlah masing-masing menjaga periuk nasi sendiri.
Kesimpulannya, sesiapa pun tidak dapat mewariskan ilmu-ilmu mereka dalam bentuk yang tersurat, sama ada buku, jurnal, artikel di Internet, rencana akhbar, dan sebagainya. Kita jadi jaguh kampung cukuplah. Asalkan orang yang berkaitan faham mesej yang disampaikan, habis cerita. Peduli apa! Asalkan cukup bulan gaji aku cukup buat makan pakai anak bini. Buat apa nak pening-pening, betul tak?
Saudara dan saudari sekalian,
Saya ingin memetik Teori Kecerdasan Majmuk cetusan Dr. Howard Gardner (1983). Teori ini menjelaskan, terdapat 8 jenis kecerdasan (dan mungkin juga lebih daripada jumlah ini), yang terdiri daripada berikut:
- Linguistic intelligence (word smart)
- Logical-mathematical intelligence (number/reasoning smart)
- Spatial intelligence (picture smart)
- Bodily-kinesthetic intelligence (body smart)
- Musical intelligence (music smart)
- Interpersonal intelligence (people smart)
- Intrapersonal intelligence (self smart)
- Naturalist intelligence (nature smart).
Setiap orang boleh memiliki lebih dari 2 jenis kecerdasan sekaligus, walaupun setiap orang tidak semestinya berbakat dalam kesemua bidang. Contohnya, jika anda seorang yang cenderung kepada pemikiran analitikal, logikal-matematik, sains dan teknologi, mungkin anda kurang mahir dalam linguistik. Tapi, tidak semestinya anda tidak boleh memperbaiki kelemahan diri.
Meningkatkan kemahiran berbahasa, tidak semestinya perlu menghadiri pengajian secara formal. Tetapi kalau mampu, lebih bagus.
Kita bukan hidup di zaman batu. Buku-buku panduan berbentuk self-help banyak melambak di pasaran. Lalu anda pun berkata, “Ah! Harga minyak dah naik. Tak kuasa nak beli buku. “
Jadi, halangan sebenarnya di sini, ialah kemahuan, atau kemampuan? Hendak seribu daya …
Rujukan:
http://www.thomasarmstrong.com/multiple_intelligences.htm
