06.07.08

Tak hendak seribu dalih (Bhg. 2)

Posted in Citra Minda at 8:01 pm by bunnybaby

Patricia Cornwell ialah seorang pakar forensik patologi. Berbekalkan kepakaran ini, beliau berjaya menulis fiksyen yang bertemakan penyiasatan forensik.

Michael Palmer ialah seorang doktor. Kerjaya kedoktoran, seperti yang kita maklumi, ialah kerjaya yang sangat mencabar, menuntut pengorbanan masa dan tenaga. Pun demikian, beliau berjaya menghasilkan berbelas-belas novel medical thrillers.

Jika anda kurang mengenali nama-nama di atas, bagaimana dengan John Grisham? Bekas ahli politik, peguam bersara, dan terkenal sebagai novelis fiksyen perundangan.

Sekiranya anda semak entri ketiga-tiga penulis ini di Wikipedia, anda akan dapati hanya Patricia Cornwell yang mempunyai pengalaman dalam bidang penulisan. Itupun bukannya penulisan kreatif, sebaliknya penulisan teknikal.

Ah! Mengapalah saya perkenalkan penulis-penulis Mat Salleh? Mari kita kembali ke kampung halaman. Singgah sebentar ke negara jiran, Indonesia.

Andrea Hirata, memiliki sarjana jurusan ekonomi dari Sorbonne, Perancis. Nama beliau mungkin belum sebaris dengan ketiga-tiga penulis di atas, tetapi entah bagaimana novelnya menjadi bestseller di Indonesia, dan merebak pula ke Malaysia. Beliau juga tidak pernah mengikuti pengajian penulisan secara formal. Novelnya yang berbentuk memoir ditulis untuk koleksi peribadi sahaja. Suka-suka, sekadar merakam rentetan pengalaman kehidupan anak Belitong. Kebetulan sahaja rakannya terbaca hasil nukilannya, dihantarkan terus kepada penerbit.

Kenapa saya sajikan kisah-kisah penulis di atas?

Saya kagumi mereka, dan keupayaan mereka menggarapkan pengetahuan-pengetahuan yang amat teknikal sifatnya ke dalam karya masing-masing. Melalui novel merekalah saya mengetahui sedikit sebanyak istilah-istilah dalam perubatan, forensik, sains, dan perundangan. Katakanlah, mereka berpendirian begini; “Saya bukan pakar bahasa. Bidang saya ialah forensik/ perubatan/ perundangan.” Nah, sudah tentu hingga ke hari ini, saya sangat buta huruf dalam bidang-bidang tersebut.

Seperti kata Jiwa Rasa, usia kita tidak boleh dijangka panjang pendeknya. Tidak molek dalam usia yang singkat ini dihabiskan masa dengan membaca novel-novel cinta semata.

Dalam masa yang amat terhad, masakan saya dapat mengkhatam pelbagai buku yang melampirkan pelbagai bidang ilmu. Ilmu Allah ibarat air di lautan-lautan luas. Jika kita celupkan jari ke dalam salah satu lautan, air yang tertinggal di jari kita itulah kadar ilmu yang telah kita perolehi. Masih banyak kebesaran Illahi yang belum mampu kita terokai.

Alhamdulillah, di Malaysia kita juga tidak kekeringan penulis yang menitipkan ilmu Allah ke dalam karya mereka. Melalui nukilan Faisal Tehrani, saya ikut mengkaji sejarah Melaka, dan mengenali jenis-jenis fabrik misalnya. Melalui Nisah Haron, saya memperolehi maklumat tentang masalah pewarisan harta, dan perhubungan ibu bapa dengan anak angkat. Sekadar menyebutkan beberapa contoh.

Sebahagian dari tugas hakiki saya, ialah memastikan segala kertas persidangan, seminar, bengkel dan sebagainya dikemaskinikan ke dalam intranet jabatan, untuk tujuan perkongsian ilmu. Jumlah yang paling banyak perlu dimuat naik biasanya melibatkan kertas-kertas kerja dari persidangan IFLA – International Federation of Library Associations. Saya amat sukakan tugas ini, kerana sambil menyelam, saya boleh minum air. Sambil memuat naik bahan, saya boleh membaca isi kandungan kesemua pembentangan (kecuali yang berbahasa selain Inggeris). Tanpa perlu hadiri persidangan di negara tersebut pun, saya masih boleh mengorek ilmu mereka.

Apa yang saya harapkan, ialah suatu masa nanti, saya dapat menulis sebaik mereka. Pembentangan mereka pastinya melalui suntingan pasukan editor khas. Tetapi saya tetap menyemat impian, saya mesti mencapai tahap itu. Tahap di mana saya yakin dengan hasil tulisan saya. Tahap di mana saya tidak melakukan kesalahan ejaan yang remeh, kesilapan nahu, dan gaya bahasa yang kucar-kacir.

Jika anda mengkaji sejarah kegemilangan Islam, para ilmuwan Islamlah yang mula-mula mempelopori pelbagai bidang sains. Tetapi setelah ilmu-ilmu ini dicuri, dicop sebagai hasil kajian sarjana Barat, nama-nama Islam sedikit demi sedikit tenggelam dan terhakis. Orang Islam mula culas. Ketinggalan. Pentingkan diri sendiri. Tidak peduli.

Anak kecil main api,

Terbakar hatinya yang sepi,

Air mata darah bercampur keringat,

Bumi dipijak milik orang.

Nenek moyang kaya-raya,

Tergadai seluruh harta benda,

Akibat sengketa sesamalah kita,

Cinta lenyap di arus zaman.

Indahnya bumi kita ini,

Warisan berkurun lamanya,

Hasil mengalir ke tangan yang lain,

Pribumi merintih sendiri.

Marilah perkasakan umat Islam. Janganlah terlalu selesa memberikan alasan, dan menuding jari. Apalah yang tinggal pada diri dan negeri jika ilmu tidak dikuasai. Ibarat kata Cikgu Rahmah, guru ERT saya di tingkatan empat, hendaklah kita menjadi orang yang pertama, kedua, atau yang ketiga, tetapi bukan yang keempat. Orang pertama; menyampaikan ilmu. Orang yang kedua, mencari ilmu. Orang yang ketiga, mendengar penyampaian ilmu. Orang yang keempat, langsung tidak melibatkan diri dalam aktiviti di atas.

3 Comments »

  1. Nisah Haron said,

    Ya, jangan jadi orang keempat. Saya suka analogi itu!

  2. Nur Hakim said,

    Jangan jadi orang yang keempat!

  3. diksu said,

    Saya dahulu sedikit kehairanan, kenapa ya hampir kesemua ilmuwan-ilmuwan Islam yang agung adalah dikatakan sarjana sastera selain menguasai ilmu di bidang teknikal lainnya. Rupanya ini! Allah menghendaki mereka melaksanakan perintahNya melalui bermacam cara termasuk melalui pena. Hanya setelah sekularisme berjaya menguasai pemikiran bangsa hingga ke akar umbi, maka terjadilah apa yang terjadi sekarang. Bangsa hilang identiti, pegangan dan amalan. Sungguh, sungguh sedih melihat anak bangsaku. Namun janji-Nya, tidak dibiarkan Islam itu hilang tanpa pembela. Maka inilah, inilah orang-orangnya yang menjadi semut hitam di atas batu pada waktu malam seperti kata Rasulullah. Teruskan usaha kalian.


Leave a Comment