06.09.08
Koleksi Animasi Cerita Asal-Usul Daerah Sabak Bernam
Zaman ini tidak sama dengan zaman kita dulu-dulu. Zaman di mana kita boleh bergembira sesama rakan sebaya dengan permainan ciptaan sendiri. Permainan yang tidak memerlukan modal besar, yang tidak perlu di”upgrade” modelnya, tidak perlu dimuat turun. Permainan yang menjana kemahiran sosial, mendidik pemain menghormati ahli pasukan lain.
Membaca buku? Pada era ICT ini, mencari jiwa muda pencinta buku ibarat mencari jarum di dalam semak-samun. Mahu tak mahu, generasi baru memang tidak ramai mendampingi buku.
Saya ingin meminjam kata-kata saudara Arief Hakim dari PTS:
Persoalan yang lebih penting ialah pembacaan buku. Satu fakta yang penting dalam pembacaan ialah kedapatan buku (availability). Orang tidak membaca kerana tidak bertemu dengan bukunya. Oleh itu, sasaran yang lebih tinggi ialah memastikan buku itu boleh didapati dari sebanyak mungkin format dan sumber.
Sebagai penerbit, kita mahu menerbitkan buku dalam pelbagai format yang memenuhi keperluan pembacaan, dan memudahkan pembaca untuk membeli dalam format yang beliau suka – bercetak (paling dominan sekarang), mobile book, atau ebook.
Mengaplikasikan prinsip pengurusan ilmu SECI-Nonaka, PPAS telah memulakan inisiatif mengabadikan cerita-cerita dalam Koleksi Rakyat Daerah Sabak Bernam ke dalam bentuk animasi. Perkongsian ilmu yang tersurat ke bentuk tersurat yang lain. Tujuannya ialah supaya golongan yang kurang gemar membaca, tetap mempunyai akses yang sama kepada maklumat. Sementelah buku Koleksi Rakyat Daerah Sabak Benam yang diterbitkan oleh Unit Perancang Ekonomi (UPEN) Selangor ini tidak diedarkan untuk tujuan komersil. Tidak diulang cetak.
Maka lahirlah DVD Koleksi Animasi Cerita Asal-Usul Daerah Sabak Bernam.
Dibangunkan secara usahasama dengan Universiti Multimedia. Mengandungi 53 cerita yang terdiri daripada kisah asal-usul, catatan sejarah, lagenda dan misteri, DVD ini turut memuatkan lebih 300 keping gambar yang dirakamkan semasa kajian lapangan oleh pasukan MMU.
Cerita-cerita animasi dikompilasikan dalam bentuk “courseware”. Oleh itu, DVD hanya boleh dimainkan di pemacu DVD-ROM pada terminal komputer peribadi. Pengguna boleh memilih cerita-cerita yang terkandung di dalam DVD ini secara rawak, melalui antaramuka yang berbentuk peta Daerah Sabak Bernam.
Nota: DVD ini boleh didapati dari Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam. Hubungi 03-5519 7667 samb. 131 untuk maklumat lanjut.



najibah said,
10 June 2008 at 8:22 am
Menarik koleksi ni dan rasa tertarik mahu beli – animasinya nampak profesional ala-ala Disney
diksu said,
10 June 2008 at 8:59 am
Nak satu! Pasti anak-anak saya suka ni, disamping berhibur, dapatlah mereka manfaat, tidaklah nanti mereka buta sejarah…Tahniah atas kelahirannya.
bunnybaby said,
10 June 2008 at 9:06 pm
Najibah,
Waduh! Tinggi melambung pujian diberi. Hendak mengatakannya setaraf ala Disney pun tidaklah hamba berani, kerana setiap orang mempunyai persepsi sendiri. Animasi ini menggunakan teknik “silhouette”, yakni figura hitam yang menyerupai wayang kulit tradisional. Memang berbeza teknik animasinya daripada Disney.
Diksu,
Terima kasih. Itu bisa diatur!