06.15.08
Minda ibarat payung terjun
Hari ini saya ’setia’ membaca 1 judul buku terus-menerus, tanpa melompat ke buku-buku lain, sepertimana kebiasaannya. Buku yang berjaya melekatkan perhatian 100% itu ialah Edensor, karangan Andrea Hirata. Sebuah karya yang indah, menghiburkan, menginsafkan, mengharukan, dan menggeletek hati. Akan saya tuliskan ulasannya tidak lama lagi, insya Allah.
Malam semalam pula saya berjaya menyudahkan buku nukilan Dan Brown yang pertama saya baca, berjudul Digital Fortress. Satu perubahan selera yang sudah sepatutnya dilakukan lama dahulu. Sebelum ini saya sering memilih fiksyen jenayah (crime fiction) ala CSI, yang mana penulisnya ialah Patricia Cornwell dan James Patterson. Disebabkan sudah terlalu terbiasa dengan gaya penulisan mereka, saya berasa agak ‘muak’ pula dan bertukar angin memilih penulis lain, berdasarkan pilihan kalangan rakan pembaca Shelfari dan Goodreads.
Mengapa boleh timbul rasa muak pula, sedangkan membaca ialah hobi utama saya? Ibarat makanan kegemaran kita, jika dimakan sekali-sekala memang terasa hendak lagi setiap masa. Tetapi jika sudah hampir setiap hari menghadap juadah yang sama, kadangkala kita pasti hendak menukar menu juga.
Seperkara lagi yang memuakkan saya, ialah kecenderungan penulis-penulis Barat menyelitkan adegan-adegan 18SX. Watak utamanya, sama ada lelaki mahupun perempuan, pasti stereotype belaka dari segi fizikalnya. Bagi watak lelaki, pasti digambarkan kesasaan tubuh badannya, ketinggiannya, kekacakan rupanya, adakala anunya pun hendak diceritakan juga. Sementara watak wanita pula, semestinya cantik menggoda, saiz badan yang menggiurkan, dan pelbagai unsur seksualiti lain. Seolah-olah penulisnya memang sengaja hendak menaikkan syahwat pembaca, walhal tema dan persoalan utama cerita bukannya percintaan Uda dan Dara. Alahai, menjengkelkan!
Maka akhir-akhir ini, jika buku dewasa bahasa Inggeris, saya kerap memilih novel-novel klasik, yang mana penulisnya adalah dari era sebelum 1980an. Pilihan yang lebih bijak dan menyenangkan! Bijak kerana dari novel-novel klasik, saya acapkali menemui perkataan-perkataan baru, lalu memperluaskan lagi perbendaharaan kata. Menyenangkan kerana tiada lagi rasa rimas membaca adegan-adegan yang kurang .. menyenangkan. Jika disebabkan pendirian dan pandangan saya ini maka saya dikatakan amat ketinggalan zaman, bercitarasa ‘old-timer’, tidak pandai menilai dan mengasingkan yang mana baik buruk, atau entah apa-apa lagi, biarlah.
Memetik kata Puan Nisah Haron, “You are what you read”. Bahan bacaan boleh saja membentuk peribadi dan pemikiran pembacanya. Oleh itu, eloklah para ibu bapa memberi perhatian kepada selera bahan bacaan anak-anak. Selain dari isi kandungannya, aspek-aspek penyampaian bahasa patut diutamakan juga. Sudah pasti kita tidak mahu generasi akan datang pincang dari segi penguasaan bahasa. Perkara ini sering dipandang remeh, sedangkan bahasa ialah alat komunikasi, saluran penyampaian ilmu. Jika tidak dapat menguasai bahasa dengan baik, bagaimana mahu menguasai ilmu lain? Tidak mungkin kita dapat menyelam ke dasar laut tanpa mempelajari ilmu berenang terlebih dahulu.
Meningkatkan kemahiran dan penguasaan bahasa, sama ada bahasa ibunda, bahasa kedua ataupun bahasa asing, perlu dilakukan secara berterusan. Sehingga kini, saya masih mempraktikkan saranan bekas guru bahasa Inggeris saya di sekolah menengah, iaitu menyimpan buku kecil untuk catatan perkataan-perkataan Inggeris yang saya tidak fahami maksudnya, yang baru saya ketemui. Nasihat saya, seelok-eloknya semasa akal kita masih lagi tertanya-tanya akan makna perkataan tersebut, segerakanlah menyemaknya dari kamus. Memang amalan ini agak menyusahkan, tetapi jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.
Kenapa saya katakan elok disegerakan membuka kamus?
Ini merupakan salah satu petua dalam pembelajaran, tak kiralah apa jua subjek ataupun bidang. Semasa akal kita sedang dipenuhi tanda tanya, ketika itulah ia terbuka luas untuk menerima maklumat dan pengetahuan baru. Bak kata arwah ayah,
“Your mind is like a parachute. It will only function when it is open.”
Oleh itu, maklumat, jawapan dan pengetahuan yang didapati akan segera tersemat di kepala, dan kebarangkalian kita mengingatinya untuk jangka masa panjang lebih tinggi, berbanding apabila kita melengah-lengahkan masa mencarinya.
Dalam pencarian ilmu, daya tumpuan juga perlu senantiasa diasah supaya ia sentiasa tajam. Selain dari membaca, kemahiran mendengar adalah satu kemahiran yang amat berharga, dan manfaatnya tidak terhad kepada pembelajaran semata. Ia juga amat berguna dalam komunikasi dan perhubungan awam, termasuklah perhubungan sesama rakan dan pasangan hidup. Maklumat dan ilmu yang disampaikan oleh ibu bapa, guru, ataupun melalui perbualan sesama rakan, suami dan isteri, adalah ibarat kijang yang diburu di hutan. Bak kata ibu saya, jika kita tidak waspada, kurang siap siaga dan leka, kijang itu akan pantas terlepas dari pandangan, maka termasuklah kita dalam golongan orang-orang yang kerugian. Wallahualam.
