Faridah Hanom

Terbitan Pustaka Antara, 1985.

Lebih setahun lamanya saya memburu buku ini. Awal tahun 2008, akhirnya berhasil pencarian saya. Terdetiknya pencarian ini, berasal dari cabaran suami. Namanya yang tertera sebagai watak utama dalam hikayat Faridah Hanom menguatkan keinginan saya untuk memiliki buku ini.

Saya difahamkan bahawa karya Al-Syed Sheikh Ahmad Al-Hadi ini pernah mengundang kontroversi pada zaman terbitannya. Ada yang berpendapat karya ini bukan nukilan asal Sheikh Al-Hadi, sebaliknya merupakan terjemahan dari karya Arab.

Hikayat Faridah Hanom berlatarkan kehidupan di Mesir, zaman awal kemodenan, yang digambarkan dari segi pengangkutannya (kereta dan keretapi), dan persenjataan (pistol, meriam). Kisah percintaan Faridah Hanom, puteri tunggal dari keluarga berada, dengan Shafik Afandi, yang juga dari keturunan bangsawan. Percintaan mereka adalah secara sembunyi-sembunyi. Dirahsiakan oleh Faridah dari pengetahuan ibu bapanya kerana mereka telah menetapkan pilihan sendiri, yakni sepupunya yang bernama Badaruddin Afandi. Manakala Shafik, oleh kerana sifatnya yang pemalu apatah lagi pernah beberapa kali menolak saranan dan calon pasangan oleh ibu bapanya, turut merahsiakan percintaannya dengan Faridah.

Tidak hairanlah kisah percintaan ini mengundang kontroversi di kalangan pembaca Muslim. Pasangan kekasih tersebut, meskipun tidak pernah melangkahi batasan sebagai pasangan yang belum bernikah, seringkali berjumpa pada waktu malam, berdua-duaan. Memang ada disebutkan yang dayang atau pembantu rumah keluarga masing-masing ada menemani dalam lingkungan tempat perjumpaan Faridah dan Shafik, tetapi perjumpaan ini sebenarnya sudah menunjukkan unsur-unsur yang agak liberal dalam pergaulan lelaki dan perempuan.

Dari sisi lain, aspek yang menarik bagi saya ialah dalam menggambarkan pergaulan Faridah dan Shafik semasa mereka masih baru melayari alam rumahtangga, penulis menggunakan kiasan berbentuk syair.

Dirasanya pintu besi khursani

Shafik menyeru ya Allah ya Rahmani

Kurniakan rahmat hambaMu ini

Masukkan ke syurga jannat adnani.

* * * * *

Masuklah Shafik ke jannat tunnaim

Menerima nikmat Ilahul Azim

Lazatnya mesra ya Rabbi ya Rahim

Seluruh anggota mengucap ya Karim.

* * * * *

Sebelum mengahwini Shafik, Faridah telah dinikahkan oleh ayahandanya dengan sepupunya, seorang pemuda yang tidak disukai oleh Faridah kerana kelakuannya yang gemar melanggar hukum agama.

Sementara Shafik pula, pernah sekali dia ternampak akan kelibat Faridah semasa di Iskandariah, yakni ketika Faridah telah menjadi isteri orang, ditahankan hatinya yang masih mencintai bekas kekasihnya itu. Demi mengelakkan pertemuan dengan Faridah, yang akan menambah parah di hatinya, Shafik terus berangkat pulang ke rumah ibu bapanya semula.

Kisah percintaan ini bukanlah 100% boleh dijadikan model pergaulan sebenar yang berlandaskan syariah Islam. Pembaca perlu bijak menapis manakah yang boleh diikuti, mana yang perlu diketepi. Unsur romantis di antara pasangan suami isteri berjaya dihidupkan oleh penulis. Persoalan lain yang turut diketengahkan ialah peranan seorang isteri yang tidak dihadkan kepada melayani suami di kamar tidur sahaja, tetapi meliputi tuntuan ibadah lain.

Leave a Comment