Laskar Pelangi

Penerbit: PTS LITERA UTAMA SDN BHD

Edisi Bahasa Melayu Malaysia, terjemahan dari tajuk yang sama dari bahasa Indonesia.

Karya yang bagus, ialah yang dapat menggerakkan pembacanya melakukan sesuatu pekerjaan yang murni.

Kalau tidak silap saya, begitulah lebih kurang kata-kata penulis Laskar Pelangi, apabila novelnya menjadi hit di Indonesia. Saya abadikan perkataan di atas, kerana novel ini telah membangkitkan semangat saya semula, menemukan kekuatan baru dalam diri.

Andrea Hirata menghamparkan kisah zaman kanak-kanaknya dalam novel ini dengan begitu jujur sekali. Bahasanya santai bersahaja, sesekala terselit metafora yang indah. Sukar mempercayai yang novelis ini tidak mendapat pendidikan khas dalam bidang penulisan dan kesusasteraan, apatah lagi berlatar belakang pendidikan jurusan ekonomi pula.

Oleh kerana sajian kisah dalam Laskar Pelangi merupakan pengalaman sebenar dalam hidupnya, bersedialah menghadapi beberapa akhiran yang anti-klise.

Saya amat tersentuh dengan watak Lintang, seorang pelajar lelaki genius yang amat miskin. Lintang perlu berbasikal sejauh 20 kilometer berulang-alik ke sekolah setiap hari. Pernah pula suatu hari dalam perjalanannya ke sekolah, dia dihadang oleh seekor buaya yang besar. Begitu susah sekalipun, sehingga terpaksa mempertaruhkan nyawa, dia tidak pernah ponteng. Semangatnya untuk belajar amat tinggi. Sayang sekali kecerdasannya terbazir apabila dia terpaksa berhenti sekolah setelah kematian ayah.

Kehebatan Lintang yang amat mengagumkan ini digarap dengan amat tersusun oleh Andrea Hirata. Dalam satu pertandingan kecerdasan antara sekolah-sekolah di Belitong, Sekolah Rendah Muhammadiyah turut terpilih. Di sinilah terpancar jelas akan kecerdasan Lintang. Walaupun menggunakan istilah-istilah saintifik yang bisa sahaja membingungkan kepala, penulis telah berjaya merakamkan pengalamannya ini dengan rapi dan berkesan. Perhatikan petikan perdebatan ini:

“Newton mengatakan, kecuali bapak ingin menyangkal manuskrip ilmiah yang tidak dibantah selama 500 tahun hasil karya ilmuwan yang disebut Michael Hart sebagai manusia paling hebat setelah Nabi Muhammad, bahawa tebal tipisnya partikel transparen menentukan warna yang ia pantulkan. Itulah persamaan ketebalan lapisan udara antara optik sebagai dasar dalil warna cincin. Semua itu hanya boleh diamati melalui optik, bagaimana encik boleh mengatakan perkara-perkara ini tidak saling berhubungan?”

Waduh! Membacanya sahaja pun membuatkan saya kagum terlongo, bayangkan perasaan hadirin di dalam dewan tersebut yang menyaksikan secara langsung akan kepetahan dan kepandaian Lintang.

Novel ini bertemakan kegigihan dalam pendidikan. Kesusahan dan kepayahan hidup tidak melunturkan semangat 11 anggota Laskar Pelangi. Persitiwa lucu, sedih, sayu dan gembira mengindahkan lagi novel jibunsyi ini. Amat rugi tidak memilikinya jika anda seorang pencinta buku!

1 Comment »

  1. diksu said,

    Sangat suka dan berterima kasih atas kesungguhan pemilik web ini berkongsi sinopsis buku. Insya Allah akan kugeledah kedai2 buku mencari ini.


Leave a Comment