Sang Pemimpi
Buku kedua dari tetralogi Laskar Pelangi
Penulis: Andrea Hirata
Penerbit: PTS Litera Utama Sdn. Bhd.
Sukar sekali untuk saya memulakan ulasan buku ini. Kesukaran itu bukanlah berpunca dari faktor yang bersifat negatif, sebaliknya kerana tiada daya mencari kata-kata yang tepat untuk menggambar- kan kekuatan dan keberanian yang ditampilkan di dalam karya ini. Cantuman mozek kehidupan yang membangkitkan semula kepercayaan anda kepada keupayaan mimpi dan pengorbanan.
Kata penulisnya;
Sebagai seorang anak Melayu, menceburkan diri ke dalam samudera sastera bagiku sama rasanya seperti menggoda sarang lebah.
…..
Aku terdorong menulisnya kerana daya juang tokoh-tokoh dalam cerita ini: Arai dan Ikal. Mereka tidak gentar mengibarkan mimpi-mimpi di bulan ketika kaki-kaki muda mereka yang kotor dan telanjang masih terbenam di Dermaga Magai, nun jauh di pulau terpencil Belitong sana, untuk menyambung hidup, untuk membiayai sendiri pendidikannya.
Gaya penulisan Andrea yang realistik, apatah lagi kisah yang dilantunkan merupakan kehidupan sebenar, pasti akan menggugah rasa. Kenakalan anak-anak lelaki remaja yang bersifat ingin tahu menyuntik humor di celah-celah kemisikinan yang mencengkam.
Walaupun sudut pandangan penceritaan merupakan perspektif seorang lelaki, pengalaman dan perasaan watak mudah dan bebas diselami. Anda akan merasai sendiri rasa simpati yang benar-benar terbit di hati, bukan simpati yang dibuat-buat, dan bukan juga kerana ‘terpaksa menghayati’.
Lebih menyentuh dan lebih dekat pengalaman yang dititipkan penulis ialah semasa bapanya berbasikal sejauh 30 kilometer ke sekolah untuk mengambil laporan peperiksaan anaknya. Coretan kisah ini pasti akan menyentak pembaca mengimbau kembali pengalaman peribadi.
Paling menyentak hati, ialah sepanjang pengajian mereka di sekolah menengah dan universiti, mereka bekerja keras di sebelah malam membawa ke subuh untuk membiayai belanja sehari-hari. Entah bilakah waktunya mereka berehat dan mengulangkaji?
Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar, tabah dan tekun berusaha. Anda akan berasa terpukul, betapa dalam merentasi pelbagai kepayahan yang begitu membelit sekalipun, mereka akhirnya berjaya mengecapi nikmat kejayaan. Kejayaan yang tertuai dari kerja keras dan dedikasi. Inilah citra yang benar-benar dapat menggerakkan pembacanya melakukan pekerjaan yang murni. Novel pembakar semangat berapi, menolak lena dan leka dari membuai diri.
