Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck
Penulis: Buya Prof. Dr. Hamka
Penerbit: Pustaka Dini
Suami pernah berkata, hati saya keras seolah-olah tidak berperasaan. Beliau berpendapat demikian kerana apabila menonton cerita Titanic lakonan DiCaprio dan Winslet, saya tidak menunjukkan apa-apa reaksi pun. Sedangkan rakan- rakannya yang lain menceritakan, biarpun telah menonton cerita itu sebanyak 20 kali, mereka tetap akan mengalirkan air mata.
Sebenarnya suami saya tidak mengetahui, hati saya boleh terkesan membaca karya yang benar-benar hebat seperti novel ini. Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck (diringkaskan sebagai TKVDW selepas ini) ialah antara novel yang berjaya menumpahkan airmata saya.
TKVDW bertemakan percintaan dua insan berlainan adat dan keturunan. Tema ini mungkin biasa sahaja kedengarannya, tetapi jangan lekas buat kesimpulan melulu sebelum anda membacanya terlebih dahulu.
Zainuddin ialah seorang pemuda yang merantau ke kampung halaman arwah ayahnya. Semasa menetap di situ, beliau telah jatuh hati dengan seorang gadis bernama Hayati. Percintaan mereka tidak direstui, kerana sudah menjadi adat Minangkabau, jodoh si dara ditentukan oleh saudara sebelah ibunya. Walaupun arwah ayah Zainuddin berasal dari kampung yang sama, Zainuddin tetap dianggap sebagai orang luar.
Zainuddin membawa diri ke kampung lain. Mencari pekerjaan menyara diri, di samping memperbaiki hidupnya supaya dapat memenangi hati keluarga Hayati. Sayang sekali Hayati berubah hati akibat termakan pujukan dan hasutan rakan baiknya sendiri. Kebetulan pula abang kepada rakan baiknya itu menaruh hati pada Hayati. Akhirnya Hayati mengalah pada pilihan jodoh yang ditetapkan oleh keluarganya.
Disangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari. Suami Hayati sebenarnya bukanlah pemuda yang benar-benar baik budi pekerti. Walaupun pada mulanya dia berubah demi kasihnya kepada isteri, tetapi sudah menjadi lumrah, perubahan yang niatnya tidak bersandarkan pada Illahi tidak akan kekal lama. Dia kembali ke tabiat buruknya, membiarkan Hayati terkontang-kanting melayari bahtera rumah- tangganya yang bergelora.
Sementara Zainuddin yang telah patah hati, bangkit semula dengan bantuan seorang rakan baru yang dianggap saudara. Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu selagi mereka tidak mengubahnya sendiri. Akur dengan ketentuan Illahi yang jodohnya tiada dengan Hayati, Zainuddin pergi lagi membawa diri ke tempat lain.
Tatkala ditakdirkan Zainuddin bertemu kembali dengan Hayati, keadaan kedua-duanya telah berubah begitu jauh sekali.
Novel ini benar-benar berjaya menyentuh lubuk hati. Sayu, hiba, kesal, perasaan ini bercampur baur hingga tidak tertahan jiwa dan raga saya. Bahkan suami pun seakan tidak percaya saya boleh terkesan dengan novel ini. Istimewanya karya Hamka ini, walaupun ia bertemakan percintaan, terletak pada penerapan nilai-nilai agama dalam jalan cerita. Ia bukan sekadar novel cinta yang mengasyikkan, tetapi disarati dengan dakwah Islamiah yang mendidik khalayak pembacanya. Saya tidak mahu mengulas panjang, sehingga menaburkan “spoiler” pula. Yang pasti, bagi peminat sastera, karya ini mesti dimilki.
Nota: Novel ini dibeli dari Ujana Ilmu, toko buku maya milik Encik Shukri dan Puan Nisah Haron.

diksu said,
9 June 2008 at 10:22 am
Bunnybaby,
Terangkan sedikit berkenaan toko buku maya ini?
bunnybaby said,
9 June 2008 at 11:28 am
Salam.
Toko buku maya, ataupun kata lainnya ialah kedai buku online, membolehkan para pelanggan memesan buku-buku yang ingin diperolehi secara online. Transaksi ini ialah apa yang kita namakan e-commerce, ataupun perdagangan melalui kaedah elektronik. Cara-caranya ialah begini:
1. Kunjungi laman sawang kedai buku online tersebut. Contoh:
http://www.ujanailmu.com.my
http://www.mph.com.my
http://www.amazon.com
2. Semak buku-buku yang anda berkenan. Sebelum anda membuat pesanan, biasanya pelanggan perlu mendaftarkan akaun terlebih dahulu. Pendaftaran akaun ini biasanya percuma, dengan syarat pelanggan mempunyai alamat e-mel yang sah.
3. Setelah mendapat pengesahan pendaftaran akaun melalui e-mel, aktifkan akaun anda di laman kedai buku online tadi.
4. Lawati kembali laman sawang kedai buku online tersebut, log masuk ke akaun anda.
5. Untuk memesan buku-buku, klik pada butang yang memasukkan buku pilihan ke troli pembelian.
6. Setelah puas memilih, anda boleh semak troli pembelian untuk proses “check-out”. Proses ini lebih kurang sama dengan pembelian di Giant dan Tesco. Apabila kita menyorong troli ke kaunter pembayaran, itulah yang dinamakan “check-out”.
7. Semasa check-out inilah ditunjukkan berapa jumlah nilai pembelian anda. Teruskan prosedur yang disarankan, iaitu mengesahkan alamat penghantaran, kaedah pembayaran, dan sebagainya.
Langkah-langkah di atas nampak seperti panjang sekali, tetapi sebenarnya mudah sahaja. Saya perlu menerangkan satu-persatu tetapi seringkas mungkin supaya pengguna yang tidak pernah menggunakan aplikasi e-commerce tidak tergaru-garu kepala.
Pembayaran secara online boleh dilakukan melalui perbankan internet. Jangan lupa cetak ataupun simpan salinan transaksi pemindahan wang untuk dihantarkan kepada peniaga (empunya kedai buku online tadi), sebagai bukti pembayaran.
Istimewanya Ujana Ilmu ini, ialah buku-buku yang ditawarkan adalah pilihan peribadi Puan Nisah dan suaminya, Encik Shukri. Maka anda tidak perlu gusar akan kedapatan buku picisan. Perkhidmatan mereka pun amat cekap dan professional. Pastikan anda menyimpan dan memfailkan rekod-rekod berkaitan (resit pemindahan wang, invois yang dihantar oleh Ujana Ilmu, dsb). Buku-buku yang dibeli dari Ujana Ilmu dihantar melalui Pos Ekspres, siap berbalut dengan plastik. Bagi pencinta buku seperti saya, ini amat penting bagi menjamin keadaan buku yang baik semasa penerimaan.
Selamat membeli buku!
AzlinAnne said,
12 June 2008 at 9:06 am
salam…bunnybaby,
last skali ape terjadi?
emm..penah la satu mase dulu besfren sy ade suruh bace buku ni…tp x bace pon..sehinggalah sy bace ringkasan yg babybunny tulis ini.
bunnybaby said,
12 June 2008 at 8:37 pm
Salam AzlinAnne,
Tak seronoklah jika saya menceritakan apa akhirannya. Tujuan saya mengulas buku ini ialah untuk memancing para pengunjung blog membaca buku tersebut dan alami sendiri kemanisan/kepahitan hidup yang disajikan. Selamat membaca!