Manikam Kalbu

Manikam Kalbu

Ada buku yang hanya sesuai dibaca sebagai halwa minda semata (brain candy), yakni bukan santapan utama. Buku jenis ini, pada pandangan saya, memberi keseronokan sementara, ibarat kudapan yang enak dikunyah buat mengisi kekosongan di antara waktu makan.

Ada buku yang berat isi kandungannya. Tidak sesuai dibaca jika anda bertujuan mencari hiburan hati dan minda. Buku begini boleh sahaja meninggalkan kesan perasaan mendalam kepada pembacanya. Mungkin sedih, geram, insaf, marah, benci, gusar, risau, bingung. Kepala bisa saja terasa berat seusai membacanya, memikirkan persoalan yang dikemukakan. Akhiran yang mengasak pemikiran supaya berfikir lebih keras, menujah hati nubari agar lebih prihatin.

Berdasarkan pengalaman saya, jarang sekali kedapatan buku-buku yang mempunyai kedua-dua ciri di atas; ringan tetapi berat, berat tetapi ringan.

Manikam Kalbu adalah buku yang termasuk dalam kategori jarang-jarang tersebut. Dialognya ringan, melucukan, tetapi membawa mesej mendalam, secara sindiran halus. Plotnya semacam mudah diikuti, tetapi persoalannya berat – mengenai aurat muslimin dan muslimah. Asal-usul aurat sejak Adam dan Hawa. Saya kagum sekali akan keupayaan Faisal Tehrani mengimbangi kedua-dua unsur berat dan ringan ini.

Manikam Kalbu, kisah jurubusana istana zaman Kesultanan Melayu Melaka yang diceritakan dari sudut pandangan seekor kucing Madura yang istimewa. Berselang-seli dengan kisah pelajar zaman kini, seorang anak lelaki yatim piatu. Hanya seorang nenek menjadi tempat mengadu. Untungnya anak ini berjiran pula dengan sepasang suami isteri yang tidak lokek membantu.

Kisah kedua-dua zaman menyentuh tentang busana Melayu, mengangkat masalah aurat sebagai persoalan utamanya. Indahnya karya ini, ialah betapa berat pun persoalan aurat itu, perjalanan cerita meluncur laju tetapi begitu santai dan bersahaja sekali.

Perhatikan pantun ini (petikan dari Manikam Kalbu):

Pasang kubu berlapis-lapis,

Kubu berlapis kuat diserang;

Pantang Melayu berbaju tipis,

Berbaju tipis adatnya hilang.

Betapa tajamnya mesej ini, tetapi disampaikan dengan cara berseni, ibarat menarik benang dari tepung. Benang tak putus, tepung tak bersepah.

FT juga menyentuh tentang kerenah birokrasi di dalam pentadbiran istana. Meskipun sultan telah menitahkan bahawa pertandingan merekacipta busana Melayu itu terbuka kepada semua, pentadbirnya pula memandai-mandai mengenakan syarat kepada rakyat jelata.

Di antara kisah dua zaman dalam Manikam Kalbu ini, terdapat persamaan, iaitu kegigihan watak-watak utamanya menuntut ilmu dalam hal-ehwal busana; dari segi jenis-jenis fabrik, kepada spesifikasi pakaian yang menepati syariah.

FT berjaya menerapkan elemen moden ke dalam kisah yang berlatar belakangkan zaman silam, iaitu pertunjukan peragaan pakaian ala catwalk. Penceritaan mengenai peragaan ini, sangat kena dengan suasananya. Kelakar tetapi tidak keterlaluan. Jenaka yang bersahaja turut diselitkan dalam suasana lain. Menghiburkan, tetapi tidak memesongkan pembaca dari persoalan utama.

Saya menyudahkan pembacaan Bedar Sukma Bisu terlebih dahulu sebelum menyelak Manikam Kalbu. Satu kebetulan yang molek sekali kerana Manikam Kalbu dibaca ketika hati sedang merusuh. Kesimpulan saya mengenai novel Manikam Kalbu, ialah melalui pantun ini:

Indah berseni pesanan diberi,

Hati merusuh kembali ria;

Ilmu disampai minda terisi,

Menghibur kalbu mendamai jiwa.

Cuma ada satu kecacatan, yang membuatkan saya rasa amat terkilan. Ejaan nama khas Manira (si kucing Madura) tidak konsisten. Sekejap bermula dengan huruf besar, di perenggan lain berhuruf kecil pula. Banyak kali ketidak-tetapan ejaan ini berlaku.

Mungkin pada pendapat umum, kesalahan ejaan itu biasa sahaja. Kesilapan ejaan yang minima bolehlah dipejam-matakan. Tetapi bagi saya, itu tidak sepatutnya berlaku, apatah lagi ia diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Kesilapan remeh seperti ini mencerminkan tahap ketelitian dalam proses penerbitan. Sayang sekali karya nan indah ini diperlakukan sedemikan rupa.

Nota: Buku ini boleh didapati dari kedai buku maya Ujana Ilmu.

1 Comment »

  1. diksu said,

    Bunnybaby,
    Teruskan ulasan buku seterusnya. Untuk buku ini, ya waktu lunch nanti pasti akan saya geledah kedai buku dibelakang pejabat mencari Manikam Kalbu ini.


Leave a Comment